Ahad, 10 Mei 2009

Khas untuk 'Hari Ibu'

Salam ‘Hari Ibu’ untuk Ibu-ibu dan diri aku sendiri yang bergelar ‘Ibu’

Setiap kali datangnya Hari Ibu hati aku mesti tersentuh,aku cemburu pada kawan-kawan yang ada ibu,sedangkan makku telah lama kembali kerahmatullah.’Tanggal 29hb November 2000’.Masih terbayang-bayang dimataku saat-saat akhir mak bersama kami 5 beradik.

Seperti kebiasaan sebelum menyambut Hari Raya,mak sibuk membuat persiapan untuk kami adik beradik.Berbeza bagi tahun tu mak buat persiapan terlalu awal sebulan sebelum kedatangan Ramadhan.Setiap kali aku bertanyakan persiapan yang terlalu awal,mak akan katakan takut tak sempat.Aku hanya fikirkan mak takut kelam kabut membuat persiapan disaat akhir sebab biasanya along yang ketika itu di Kuala Lumpur akan menyambut Aidilfitri dikampung.Lagipun mak belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan.

Hari pertama Ramadhan,itulah hari terakhir kami 4 beradik makan masakan mak untuk sahur.Mak kata mak demam,mak tak sihat mak cuma masakan telur puyuh sambal dengan sayur kacang goreng.Cukuplah untuk kami bersahur 4 beradik dengan abah buat bersahur.Tengahari tu mak nampak lepak,tapi mak masih boleh bangun lagi.Tengahari tu jugaklah aku buat dosa dengan mak untuk terakhir kalinya.Mak suruh angkat baju aku jawab malas sebab mak tak suruh angah.Diketika itu jugalah mak cakap ‘nanti kalau mak dah tak ada baru korang tau langit tu tinggi ke rendah’.Hari tu jugalah mak cakap dengan adik ‘dulu masa emak mak mati umur mak baru 5 tahun,adik dah 8 tahun dah cukup besar’.Dan pada hari tu jugalah mak cakap dekat Mak Neng ‘ko nengok-nengokkan budak-budak nie.Nie bulan puasa,dia orang cerewet masa berbuka.Kau marah dia orang kalau curi-curi tak puasa.Lagi-lagi adik’.Mak terlalu sayangkan adik sebab dia anak lelaki tunggal mak.Mak dah tak masak lagi,kami beli makanan untuk berbuka.Hari tu jugalah mak mengeluh,dia kata badan dia sakit sangat.Mungkin itu tanda-tanda sakaratulmaut yang telah hampir dengan mak.Malam mak tak tidur,aku ngan angah dengar mak berzikir ‘LAILLAHHAILLALLAH’.Itu pun aku ngan angah masih tak paham.

Hari kedua puasa,mak dah langsung tak boleh bangun.Mak dah tak banyak bercakap lagi,suara mak masa tu dah kat dalam sangat.Aku anggap tu perkara biasa,sebab mak selalu sakit.Atok ada beritahu kita orang mak dah tak boleh buat kawan.Kenapalah bodoh sangat aku masa tu tak paham dengan apa yang atok cakap.Malam tu,seperti tak ada apa yang berlaku,aku ke expo dengan jiran.Dalam perjalanan balik,aku ketawa sepuas-puasnya,sampai jiran aku kata ‘ko nak nangis tak henti nie’.Sampai kat rumah,aku tengok ramai orang,hati aku berdebar-debar masa tu.Jiran dan sepupu aku ada datang pujuk mak ke hospital,mak taknak pergi dia kata nak mati kat rumah,tapi akhirnya mak akur ke hospital.Dalam kereta,aku pangku kepala mak,mak tengok je muka aku sepanjang perjalanan.Air mata mak sesekali mengalir,mungkin itu pertanda mak akan pergi tinggalkan kami.Mak kena tahan kat hospital.Angah tunggu mak.Aku ngan abah balik sebab adik-adik kat rumah.Pukul 4 pagi,masa aku panaskan lauk untuk sahur,telefon berbunyi.Abah yang angkat,tiba-tiba abah nangis.Dia kata kena pergi hospital sekarang,mak tengah nazak.Ya Allah,masa tu Tuhan je yang tahu perasaan aku.Menggigil satu badan.Sampai kat hospital,doctor bagitahu abah jangan tinggalkan mak.Mak dah tak ada harapan lagi.Mak demam panas,dah ada jangkitan kuman kat otak mak dan tekanan darah mak dah tak boleh nak di baca lagi.

Mak seolah-olah tahu kami datang,mak gagahkan diri buka mata sedikit.Mak pandang kami sorang-sorang,aku masih ingat lagi pandangan mak masa tu.Air jernih mengalir dimata mak.Kami semua sempat minta ampun segala dosa kami pada mak masa tu.Tengahari tu,tiba-tiba angah keluar sambil nangis.Dia kata mak buang air besar pastu ubat dah tak boleh masuk badan mak lagi.Doktor dah benarkan kami sekeluarga masuk untuk menanti saat-saat akhir mak.Kami semua mengelilingi mak sambil membaca surah Yasin.Baru separuh bacaan,mak menarik nafas panjang sambil menyebut kalimah ‘LAILLAHHAILLALLAH’.Mak telah pergi tinggalkan kami buat selama-lamanya.Mak pergi mengadap Illahi tepat jam 2.50ptg pada hari ke3 semua umat Islam berpuasa.Mak pergi ketika umur mak baru 48 tahun.Mak pergi ketika adik yang masih terlalu perlukan mak.Mak pergi tinggalkan kami semua.Ya Allah,masa tu aku adik beradik seperti tidak dapat menerima kenyataan mak dah tinggalkan kami.Along yang baru sampai dirumah tak sempat mengadap mak masa tu.Hanya panggilan telefon dari kami yang along terima menyatakan mak dah tak ada lagi.”Ya Allah,kenapa sebegini cepat ambil mak dari kami?Belum puas kami rasa kasih sayang dari mak.Belum sempat kami berbakti pada mak.”

Jika sebelum nie,kami pernah memandikan mayat insan lain,tapi kali nie kami memandikan mayat mak.Sebelum nie mak selalu pesan jangan takut dengan kematian,mak suruh kami pergi melawat orang mati.Kami tidak kekok untuk mandikan mak.Inilah kali terakhir kami berbakti pada mak.Cuma sesekali aku tidak dapat menahan air mata yang seperti tidak mahu putus dari mengalir.Kami sama-sama mengapankan mak.Aku seperti tak sanggup nak balutkan badan mak dengan kain kapan,aku tak sanggup nak tutup muka mak dengan kain putih.Diakhir perpisahan kami dengan mak,kami adik beradik cium dahi mak yang sejuk.Mak nampak cantik walaupun sudah menjadi mayat.Mak seolah-olah senyum bila kami adik beradik mencium mak.Mak seperti memang dah sedia untuk mengadap Allah.Sewaktu mayat mak dimasukkan keliang lahad,itulah kali terakhir kami melihat wajah mak.Kami sama-sama bacakan surah Yasin untuk mak.Pulang dari kubur,masih ramai yang menunggu kami dirumah untuk mengucapkan takziah.Yang amat memilukan bila semua orang menangis tengok adik main kereta control.Adik seolah-olah tak paham yang mak dah tinggalkan kami semua………Raya tahun tu langsung tiada makna bagi kami sekeluarga,hanya deraian air mata kami adik-beradik tika takbir raya bergema…..

Kini…..
Tak ada lagi senyum tawa dari mak,
Tak ada lagi dengar suara mak marahkan kami,
Tak ada lagi baju raya yang mak jahitkan,
Tak ada lagi masakan dari air tangan mak,
Tak ada lagi deraian air mata mak,
Tak ada lagi hadiah untuk diberikan pada mak,
Tak ada lagi mak yang boleh dibawa berjalan-jalan,
Tak ada lagi leteran dari mak,
Tak ada lagi bercuti dengan mak,
Tak ada lagi mak yang menjadi tempat mengadu,
Tak ada lagi kasih sayang dari mak,
Dan….tak ada lagi mak yang segala-galanya…..

Disaat artikel ini dibuat,sesekali berderai juga air mata aku yang cuba aku tahan.Dah lama aku ingin berkongsi dengan semua,tapi tiada masa.Rasanya tahun ini lebih tersentuh hati aku bila tiba ‘Hari Ibu’ kerana kini aku telah menjadi ibu kepada Haikal yang dah berusia 6 tahun.Kerana tahun ini Haikal dah tau nak katakan ‘Selamat Hari Ibu’ dan bagi hadiah pada aku walaupun hanya lukisan yang dibuatnya sendiri.Disaat melahirkan Haikal baru aku tahu besarnya pengorbanan mak masa melahirkan aku dan adik beradikku yang lain dan membesarkan kami semua.

Apa yang membuatkan aku kekadang terkilan,
Mak tak sempat lihat aku adik beradik berkeluarga,
Mak tak sempat berkenalan dengan menantu-menantu mak,
Mak tak sempat tengok cucu-cucu mak-Jasmine,Arsyad,Haikal dan Haiziq membesar,
Mak tak sempat tengok kebahgiaan dalam kehidupan kami sekarang.

Apapun,walau mak dah tak ada lagi aku tak pernah lupakan mak.Aku sentiasa ingat mak dalam doa.Jika ada kelapangan aku tak pernah lupa ziarah kubur mak.Terutama Hari Raya Aidilfitri dan Raya Korban.Setiap tahun aku tak pernah lupa kenduri untuk mak.Aku akan kongsi dengan adik beradik yang lain.Itu hadiah dari kami untuk mak disana.

Kepada sesiapa yang membaca artikel ini dan masih mempunyai mak,jangan sesekali abaikan mak anda.Kerana apabila mak dah pergi tinggalkan kita,pedihnya perasaan ini hanya Allah yang tahu.Lebih-lebih lagi tengok orang lain dengan mak.Walaupun mak dah tak ada,tapi aku adik beradik masih ada Abah.Sekarang nie aku pun dah ada mak mertua untuk menumpang kasih walaupun tak sama macam mak.
Aku selalu berdoa semoga dipanjangkan umur dan diberi peluang untuk melihat anak-anakku membesar didepan mata.Melihat anak-anakku berjaya dan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah….

Buat mak,semoga roh mak sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan solehah…….Amin.Al-Fatihah.

1 ulasan:

HR berkata...

SELAMAT HARI IBU. Senpena hari ibu ni, saya ofer satu bisnes terbaru di pasaran. Kat Bapahat ni baru ada 2 ahli iaitu saya dan isteri saya...cepatlah daftar dengan saya...anda akan jadi yang terawal...BISNES JUS JAMBU BATU PINK. BONUS LUMAYAN !